Saturday, August 2, 2014

Asmaul Husna Converter | Menukar Bala Menjadi Nikmat | Bab 2

BAB 2 – TEKNIK MENUKAR BALA KEPADA NIKMAT

Penderitaan hati dan kekusutan fikiran ketika menerima BALA adalah berpunca dari kepercayaan bahawa peristiwa itu adalah BALA. Kepercayaan dan keyakinan inilah akan membuat hati dan fikiran menderita. Fikiran dan perasaan ini akan memberi kesan kepada system hormon tubuh yang akan mengeluarkan hormon2 kesedihan dan penderitaan, dan seseorang itu akan terus merasa sedih, menderita dan sempit.

Langkah pertama dalam teknik menukar BALA menjadi NIKMAT ialah dengan menukar definisi BALA dari definisi yang dicipta oleh manusia kepada definisi yang dicipta oleh ALLAH. Namun begitu, bukanlah mudah untuk menukar cara berfikir seseorang dengan sesuatu yang baru, kerana pemikiran tadi sudah bertapak dan bersarang dengan sangat kukuh di dalam fikiran dan hati. Untuk membuangnya, perlulah teknik2 yang sangat luarbiasa dan sesungguhnya manusia tidak akan mampu membuang sesuatu dalam fikiran dan hatinya yang telah melekat kuat melainkan dengan pertolongan ALLAH jua.

Maka langkah membuang definisi BALA yang dicipta oleh manusia dan meletakkan definisi ALLAH ialah dengan menggunakan energy Asmaul Husna seperti berikut:

1.       YA ALLAH YA QUDDUS YA BATHIN YANG MAHA MENYUCIKAN DAN MENGHILANGKAN, Sucikan dan hilangkanlah perkataan dan sangkaan yang salah terhadap BALA yang melekat difikiran dan hatiku ini, sesungguhnya daku sedar ianya suatu kesilapan dan daku tidak berdaya membuangnya ALLAH, hanya Engkau Ya Bathin yang mampu menghilangkannya. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menurunkan apa2 jua BALA kepadaku selama ini kerana Engkau YA RAHMAN YA RAHIM Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan tidak pernah bersikap zalim kepada hambaMu.

2.       YA ALLAH YA NUUR YA ZOHIR YANG MAHA MENAMPAKKAN, pancarkan cahaya makrifatMu ke dalam jiwaku yang gelap ini dan nampakkan perkataan NIKMAT disebalik setiap peristiwa yang datang dalam hidupku yang selama ini ku sangkakan BALA itu. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menurunkan apa2 pun jua BALA kepadaku, tetapi peristiwa itu hanya merupakan satu tarikan kepadaMu agar daku datang dekat kepadaMu YA ALLAH. Sesungguhnya daku seringkali lalai dan jauh dariMU sedangkan daku sangat memerlukanMu dalam hidup ini. Bagaimana mungkin daku tidak memerlukanMu ALLAH, jantungku Engkau yang mendegupkan, udara yang masuk kedalam tubuhku ENgkau yang memasukkan, kami menumpang diatas hamparan bumiMu, menumpang cahaya matahariMU dan setiap saat dikurniakan segala pemberianMu YA RAHMAN.


Cara amalan: Nama2 ALLAH tadi dibaca dan diwiridkan sebanyak 40x selepas setiap solat dan diiringi bicara hati diatas. Sebaiknya dengan nada merintih, menangis dan merayu, tanda pengharapan yang amat sangat dan kesungguhan memohon kepadaNya.

Asmaul Husna Converter | Menukar Bala Menjadi Nikmat | Bab 1

BAB 1 – APAKAH HAKIKAT BALA

BALA pada definisi manusia adalah suatu peristiwa yang mendatangkan kesedihan dan kesempitan hati kepada orang yang menanggungnya. BALA terjadi ketika seseorang itu tidak menginginkan sesuatu itu berlaku kepadanya, menyebabkan jiwanya menolaknya. Tetapi sifat BALA ialah walau ditolak, ditangisi dan diratap, ianya tetap datang dan kadang2 lama dan berpanjangan dan kadang2 silih berganti dengan pelbagai jenis BALA. Ianya lebih menyakitkan apabila BALA itu ditambah dengan penghinaan dan celaan dari manusia sekeliling.

BALA pada definisi manusia juga sering dikaitkan dengan kemiskinan hartabenda dunia, kesakitan jasad, kejatuhan pangkat, perpisahan dengan orang tersayang. Ianya dikatakan suatu kerugian kerana manusia itu dikatakan kehilangan kebahagiaan hidup, kerana meletakkan kebahagian itu pada banyaknya hartabenda, kesihatan tubuhbadan, pangkat yang tinggi serta disayangi dan dipuja oleh orang2 sekeliling. 

Namun, hakikat BALA pada sisi ALLAH merupakan satu peristiwa yang dicipta oleh Allah Al Khaliq yang maha Pencipta dengan bertujuan agar manusia ingat kepadaNya dan datang dekat kepadaNya merintih, merayu dan bermohon kepadaNya. BALA juga disisi ALLAH dikurniakan tanda sayangNya Ya Rahim kepada hambaNya kerana dengan BALA tadi, hamba itu akan dipimpin diatas jalan hidayah, jalan redhaNya dan jalan syurgaNya. BALA sering datang ketika seorang hamba leka dan lalai dengan dunia yang sifatnya melekakan dan melalaikan. BALA juga datang menjenguh seseorang ketika dia tersasar dari orbit Islam, Iman dan Ihsan, tersasar dari jalan syurga menuju kejalan neraka, tersasar dari jalan takwa kepada jalan kemungkaran.


Hakikat BALA disisi ALLAH bukanlah bertujuan untuk menyusahkan dan menyempitkan hambaNya, tetapi sekadar membawa hambaNya ingat kepadaNya dan kembali kepada jalan yang lurus. BALA juga disisi Allah merupakan mandian penyucian dosa bagi membersihkan dosa dan karat2 dosa yang terjadi ketika seseorang hamba melakukan dosa.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 8

BAB 8 – HIDUP TANPA KEBENCIAN, PENUH KASIHSAYANG

Sesungguhnya seseorang yang mengenal Allah Yang Maha Hebat dan mengenal dirinya yang penuh kedhaifan dan kelemahan, hatinya tidak pernah mengenal kebencian, malahan sentiasa dihiasi dan dialiri dengan kasihsayang. Setiap tatapan matanya, memancarkan kasihsayang, setiap langkah kakinya melangkah untuk berkasih sayang, setiap degupan jantungnya melahirkan kasihsayang yang mengalir dalam urat saraf dan saliran darahnya. Gunakan tips ini untuk kekal dalam kasihsayang tanpa kebencian:

YA ALLAH YA BAAQI,YA QUDDUS, YA RAHMAN YA RAHIM, Yang Maha Kekal, Maha Suci, Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kekalkan daku dalam kasih sayangMu Ya Allah agar hati ini tidak mengenal kebencian, yang ada hanya kasihsayangMu, kekalkan hati ini dengan aliran kasihMu agar daku dapat mengasihi orang2 kelilingku, dengan itu hancur leburlah kebencian, kekalkan hati ini dalam keadaan suci bersih dari kebencian dan kesucian hakiki terserlah dengan kesucian kasih sayang.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 7

BAB 7 – MERAWAT BARAH KEBENCIAN DENGAN JAHITAN KASIHSAYANG

Perasaan benci yang membuak dan berlamaan akan menyebabkan barah di hati dan sekiranya dibiarkan berlamaan, akan menyebabkan pelbagai penyakit jasad yang kronik seperti sakit jantung dan barah, kerana hati yang benci akan menyebabkan ketidakseimbangan hormon tubuh, yang menyebabkan ketidaklancaran pada pengaliran darah dari jantung ke seluruh tubuh. Boleh gunakan tips berikut untuk merawat barah kebencian dihati:


YA ALLAH YA JAMI’ YA MU’ID YA RAHMAN YA RAHIM, Engkaulah yang Maha Menyatukan, Maha Mengembalikan, Maha Pengasih dan Maha Penyayang, cantumkan kembali luka2 dihatiku yang mengakibatkan barah kebencian dihati ini, kembalikan hati ini kepada fitrahnya yang sebenar dengan jahitan kasih sayangMu Yang akan menjahit luka2 yang berpunca dari barah kebencian dihati dan rawatlah hati ini Ya Allah dengan rawatan kasih sayangMu yang mengalir di hati ini.  

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 6

BAB 6 – MENENANGKAN GELORA KEBENCIAN DENGAN SUNTIKAN KASIHSAYANG

Seringkali hati bergelora ketika datang perasaan benci, seperti ketika bertembung dengan orang yang dibenci, hati bergoncang seumpama gelora yang sangat kuat memukul hati sehingga kadang2 menyebabkan kesan kepada stress di fikiran, kerunsingan dan keresahan dihati dan pelbagai penyakit jasad. Untuk menenangkan fikiran dan jiwa dari sebarang rasa benci, bolehlah amal tips berikut:

1.       YA ALLAH YA SALAM, Yang Maha Menenangkan, tenangkan jiwaku yang bergelora ini agar daku dapat merasa ketenangan walaupun orang yang benci itu ada dihadapanku atau peristiwa yang pedih itu datang melintas difikiran. Sesungguhnya dia melakukan perkara itu kerana lemahnya dia dan jahilnya dia.


2.       YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM YA JAMI’, yang Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Menyatukan, jiwa yang meronta ini Ya Allah, suntiklah ia dengan suntikan kasih sayangMu agar daku dapat merasakan ia mengalir dalam urat saraf dan saliran darahku, yang akan memberi ketenangan hakiki dalam daku mengharungi gelombang kehidupan ini.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 5

BAB 5 – MENUKAR JUBAH KEBENCIAN KEPADA JUBAH KASIHSAYANG

Seringkali seorang manusia itu ketika dalam hatinya penuh dengan perasaan benci kepada seseorang, dia umpama memakai jubah kebencian, yang mana dengan jubah itu, orang lain sentiasa merasai kebencian darinya dalam setiap langkah perbuatannya. Dia hadir dalam hidup manusia seumpama seorang Raja Yang sangat garang, yang maha kehadirannya seringkali menggerunkan hati2 orang sekeliling. Ini kerana, panahan kata2 yang seringkali keluar dari lidahnya sangat pedih dan tajam yang mampu menghiris2 hati2 manusia sekeliling. Amalkan tips berikut untuk menukar jubah kebencian kepada jubah kasihsayang:

1.       YA ALLAH YA FATAH yang Maha Membuka, bukalah jalan keluar dari hatiku, perasaan benci yang bertapak dihati ini, seumpama terbukanya jubah yang dipakai oleh seorang Raja yang sangat zalim yang penuh kebencian.


2.       YA ALLAH YA MAJID YA HAMID YA RAHMAN YA RAHIM, yang Maha Budi pekerti mulia, Maha terpuji, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, pakaikan daku dengan pakaian jubah budi pekerti mulia dan sifat terpuji serta dihiasi dengan mutiara kasihsayang yang bergemerlapan yang akan menzahirkan kasihsayang dalam setiap perkataan dan perbuatan.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 4

BAB 4 – TEKNIK MANDI DENGAN AIR MAWAR KASIHSAYANG UNTUK MENYUCI KEBENCIAN

Sesungguhnya kebencian itu seumpama sesuatu yang sangat kotor dan busuk yang wujud di hati manusia. Dan kasih sayang itu seumpama wangian air mawar yang ketika dijirus kehati, terasa wanginya semerbak dan hilanglah kebusukan kotoran kebencian itu. Tambah lagi tips berikut untuk terus mendidik jiwa dan mentransformasi diri menjadi insan penyayang tanpa benci.

1.       YA ALLAH YA QUDDUS YA JALIL, yang Maha Menyucikan dan Maha Menjernihkan, suci dan jernihkan hatiku dari perasaan benci sesama kami yang menjadi kotoran dalam hati kami yang menyebabkan kebusukan hati yang akan melahirkan pelbagai sifat2 buruk dan busuk, kerana kebencian itu adalah kotoran hati yang akan mendatangkan pelbagai penyakit hati dan jasmani.


2.       YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM YA BADI’, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Indah, alirkan rasa kasihsayang antara kami yang akan menjadikan hati kami indah dan wangi seumpama indah dan semerbaknya mawar wangi, sesungguhnya ketika mengalir kasihsayangMu itu, keluarlah kebencian dihati yang sesungguhnya merupakan kebusukan yang melahirkan sifat2 mazmumah. 

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 3

BAB 3 – TEKNIK MEMINUM AIR KASIHSAYANG UNTUK MELONGKAH KEBENCIAN

Seseorang manusia seringkali kering kasih sayang, yang beertinya hatinya tidak mampu merasakan perasaan kasih, perihatin, ingin menolong sesama sendiri, tidak punya rasa kasihan belas dan seringkali perasaan kering ini menyebabkan tali silaturrahim akan putus. Sekiranya dalam keadaan biasa pun, seseorang itu tidak mampu merasakan keperihatinan tanpa kasih sayang Allah Ar Rahman Ar Rahim, apatah lagi sekiranya ada peristiwa yang mencetus kebencian, seperti kata2 yang sinis, pandangan mata yang tajam penuh dengan kebencian dan dendam, perbuatan yang kasar yang menampakkan kebencian dalam hati seperti menghempas pintu, melempar sesuatu atau memarahi seseorang yang lain sebagai tanda protes kepada seseorang yang lain. Sekiranya berlaku perkara diatas, amalkan tips berikut:

1.       YA ALLAH YA MUHYI YA RAHMAN YA RAHIM, yang maha menghidupkan, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, segarkan hatiku yang kering ini dengan minuman kasih sayangMu agar dengan mengalir kasihMu, dapatlah dilongkahkan kebencian sangat sangat kuat melekat dihati ini.


2.       YA ALLAH YA AZIZ YA QOWIY YA MATIN, yang Maha perkasa, Maha Kuat dan Maha Teguh, dengan kekuatanMu Ya Allah, buang dan longkahkanlah rasa kebencian yang begitu kuat yang telah lama sebati dalam hati ini.  

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 2

BAB 2 – TEKNIK MENUKAR KEBENCIAN KEPADA KASIHSAYANG

Untuk menukar perasaan benci kepada kasih sayang ketika tidak mendapat apa yang diingini daripada seseorang atau pelbagai kekecewaan, perlulah bermakrifat bahawa tidak wujud peristiwa kekecewaan itu sebenarnya, hakikatnya yang ada hanyalah ujian Allah dan kasih sayang Allah Ar Rahim dan sedikit teguran Allah Al Mani’, ketika Dia mencegah sesuatu, teguran Allah Al Qohhar Al Jabbar ketika Dia menundukkan dan memaksakan sesuatu, dan peristiwa2 itu merupakan proses pelajaran bagaimana Allah Al Alim mengalirkan ilmu kepada seseorang sebagai panduan hidupnya di dunia.

Amalkan zikir dan doa berikut untuk menukar definisi kebencian kepada kasihsayang dan seterusnya menghilangkan perasaan benci dan  menimbulkan perasaan kasih.

1.       YA ALLAH YA BATHIN, yang maha menghilangkan, hilangkan perkataan benci dalam hatiku dan fikiranku agar daku tidak membenci sesama manusia. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajar ummat baginda benci membenci sesama manusia, melainkan hanyalah berkasih sayang dalam setiap perkara.


2.       YA ALLAH YA ZOHIR YA RAHMAN YA RAHIM, yang Maha Menampakkan, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, nampakkan dalam fikiran dan pandangan matahatiku akan perkataan kasih sayang sentiasa disebalik setiap peristiwa yang Engkau datangkan Ya ALLAH.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 1

BAB 1 – APAKAH HAKIKAT KEBENCIAN

Kebencian sering terjadi apabila seseorang mengharapkan sesuatu dari seseorang, tetapi ditolak atau tidak dapat menunaikan apa yang diharapkan samada dengan sengaja atau tidak sengaja. Kebencian juga terjadi apabila adanya perasaan hasad dengki dalam hati seseorang terhadap seseorang yang lain, yang merupakan penyakit hati yang sering menghinggapi hati seseorang. Selain itu, kebencian juga boleh berlaku apabila seseorang merasakan dia dimarahi, dianiayai atau dizalimi samada disedari oleh orang yang melakukannya atau pun tidak.

Sifat benci membenci sering berlaku kerana kejahilan, kelalaian dan sifat mazmumah yang berleluasa dalam masyarakat. Perasaan benci akan kekal lama dalam hati apabila seseorang itu menceritakan keburukan atau hal seseorang atau sesuatu peristiwa itu dari masa ke semasa. Ianya bertambah parah apabila ada seseorang yang menjadi batu api yang menokok tambah cerita asal dan menabur fitnah sehingga tahap kebencian bertambah-tambah.

Penyakit benci membenci ini apabila tidak dibersihkan dan dibiarkan lama bertambah-tambah, lama kelamaan akan bertukar jadi penyakit barah yang mana akhirnya akan menghasilkan sakit jasmani seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan barah. Selain itu, ianya akan menyebabkan perpecahan dan pergaduhan di kalangan orang2 yang membenci itu, yang juga melibatkan orang2 sekelilingnya. Kalau dia seorang ketua, yang akan terseret sama dalam kebencian itu adalah anak buahnya. Kalau dia seorang guru, yang akan terseret sama adalah anak muridnya. Sekiranya kebencian dan pergaduhan berlaku diperingkat pemimpin Negara, ia boleh mengakibatkan huru hara dan peperangan yang dahsyat antara rakyat dan juga antara Negara.


Pada hakikat sebenarnya kebencian itu merupakan hukuman Allah kepada seseorang yang salah faham tentang peristiwa2 yang berlaku dalama hidupnya atau hidup orang lain. Bagi kebencian yang berpunca dari kekecewaan kepada seseorang apabila apa yang diharapkan tidak tertunai, ianya berpunca daripada perasaan kebergantungan kepada makhluq dan merasai makhluq boleh menunaikan segala permintaan kita. Sesungguhnya, pada hakikat sebenar, makhluq tidak boleh memberikan sesuatu atau mendatangkan apa juga kepada diri kita, kerana yang memberi sesuatu itu adalah Allah Ar Rahman Ar Rahim Al Wahab Al Karim. 

Perasaan benci yang berpunca dari hasad dengki adalah kerana merasai keuntungan yang diperolehi oleh orang lain dan diri sendiri tidak mendapat keuntungan tersebut. Sesungguhnya pada hakikat sebenar, makhluq tidak berupaya untuk mendatangkan rezekinya sendiri melainkan dikurniakan oleh Allah, dan Allah itu Al Adl yang Maha adil mengagihkan rezekiNya secara paling adil dengan penuh kebijaksanaan kerana Dia Al Alim Al Hakim. Kepercayaan tentang rezeki dunia itu adalah tanda keuntungan dan kebahagiaan juga merupakan satu kesilapan besar, kerana pada hakikat sebenarnya disisi Allah, semakin banyak harta benda, wang ringgit dan pangkat seseorang, semakin banyak tanggungjawabnya kepada Allah untuk berbakti kepada masyarakat. Kebencian yang timbul disebabkan dimarahi, dianiayai dan dizalimi adalah kerana salah faham tentang peristiwa tersebut yang mana dia merasai orang atau makhluq yang memarahi, menganiaya dan menzalimi dia, sedangkan pada hakikat sebenarnya disisi Allah, Allah Ar Rahim Al Mani’ Al Qohhar Al Jabbar yang menegurnya, kerana apa yang dilakukan itu tidak benar disisi Allah. Ketidakmampuan seseorang itu melihat kekuasaan dan perbuatan Allah disebalik setiap peristiwa dan makhluq itulah menyebabkan mereka membenci dan berdendam.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kesedihan kepada Kegembiraan | Bab 6

BAB 6 – HIDUP KEKAL PENUH KEGEMBIRAAN TANPA KESEDIHAN

Sesungguhnya seseorang yang mengenal Allah Yang Maha Hebat dan mengenal dirinya yang penuh kedhaifan dan kelemahan, hatinya tidak pernah mengenal kesedihan, malahan sentiasa tenang dan ceria. Setiap tatapan matanya, memancarkan ketenangan, kegembiraan, kasihsayang, setiap langkah kakinya melangkah untuk menabur kasih sayang dan kegembiraan kepada orang sesekiling, setiap degupan jantungnya melahirkan ketenangan dan kebahagiaan yang mengalir dalam urat saraf dan saliran darahnya. Gunakan tips ini untuk kekal dalam ketenangan dan kegembiraan tanpa kesedihan:


YA ALLAH YA BAAQI,YA QUDDUS, YA SALAM,YA RAHMAN, YA RAHIM Yang Maha Kekal, Maha Suci, Maha Memberi Ketenangan dan kegembiraan, Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kekalkan daku dalam ketenangan, keceriaan dan kegembiraan serta kasih sayangMu Ya Allah agar hati ini tidak mengenal kesedihan, yang ada hanya kegembiraan mengenalMu, menimba kasihsayangMu dan proses kedekatan denganMu. Kekalkan hati ini dengan mandian air ketenangan dan kasihMu agar daku dapat hidup dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan serta dapat menolong orang2 kelilingku mencapai kebahagiaan, dengan itu hancur leburlah kesedihan, kekalkan hati ini dalam keadaan suci bersih dari kesedihan dan kekalkan ia dalam ketenangan hakiki.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kesedihan kepada Kegembiraan | Bab 5

BAB 5 – SEMAKIN KUAT ESAKAN KESEDIHAN, SEMAKIN ERAT PELUKANNYA


Sesungguhnya sedarilah disebalik peristiwa kesedihan itu, ketika dikau terpisah dari pelukan dan belaian manusia yang disayangi, Allah Ya Waddud datang memelukmu dengan titisan air cintaNya yang mengalir dalam jiwamu yang gersang itu. Semakin kuat esakan kesedihanmu kerana peristiwa yang sangat sukar yang terpaksa dikau lalui, pada hakikatnya semakin erat pelukanNya sehingga akhirnya sekiranya dikau mengerti bagaimana Allah Ya Waddud sangat mencintaimu, Dia sangat cemburu ketika dirimu lebih mencintai manusia dariNya, maka Dia menarikmu kepadaNya untuk memulukmu, bukan menghukummu, bukan memukulmu, bukan menzalimimu. Janganlah merasa begitu wahai insan pilihan, mulai sekarang, janganlah abaikan Dia, Allah rindukan suaramu dipagi hari, alunan pujian untukNya, alunan lafaz2 cinta hambaNya, rintihan merayu dari hambaNya. ‘YA ALLAH YA Baari’ Ya Waddud, aturkan sentiasa lidah ini untuk memujaMu, merayu kepadaMu, melafazkan kata2 cinta dan pujaan kepadaMu agar jiwa ini sentiasa segar dengan cintaMu.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kesedihan kepada Kegembiraan | Bab 4

BAB 4 – TEKNIK MENYAPU UBAT LUKA KESEDIHAN

Kepedihan hasil dari kesedihan hati kerana kesalahfahaman terhadap perbuatan Allah sering menyebabkan luka dihati. Luka ini kadang-kadang lama baru dapat dihilangkan. Sekiranya luka itu terlalu lama, ianya akan menjadikan hati itu sentiasa sakit, sehinggakan kehidupan yang bahagia ini sentiasa diselaputi kesedihan dan kesakitan jiwa berpanjangan. Adalah amat rugi, sekiranya seseorang menghabiskan masanya termenung, dalam kemurungan, kesedihan, keperitan hati tanpa diubat segera. 

Gunakan zikir berikut untuk mengubat luka dihati – 

Ya Allah Ya salam yang maha menyembuhkan, sembuhkan luka dihatiku, Ya Latif Ya Halim, dengan kelembutan dan kesantuanMu yang penuh dengan kasihsayangMu Ya Rahman, Ya Rahim, lukaku ini pasti akan hilang, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Menghilangkan Ya Bathin, dan Ya Mu’id yang maha Mengembalikan, kembalikan hati ini seperti sediakala iaitu sentiasa bahagia dan ceria.


Teknik mengubat atau menyapu luka kesedihan bergantung kepada tahap luka. Sekiranya lukanya sangat parah, ianya perlu digabungkan zikir, doa, dan solat hajat. Amalan ibadah khususiah ini juga berbeza mengikut tahap masalah, bilangan zikir perlu ditambah, sekiranya perlu sehingga 1000 kali sekiranya masalah itu sangat kronik. Begitu juga solat, eloklah ditambah bilangan rakaat, sehingga kepada 12 rakaat bagi menunjukkan kesungguhan kita memohon kepada Allah dan sebagai adab seorang hamba yang mendambakan Allah tempat pergantungan seorang hamba yang lemah dan dhaif. 

Asmaul Husna Converter | Menukar Kesedihan kepada Kegembiraan | Bab 3

BAB 3 – TEKNIK MENGFATAMORGANAKAN KESEDIHAN


Sesungguhnya kesedihan itu hanyalah sebuah fatamorgana yang lahir dari persepsi yang dibuat oleh fikiran manusia. Ingatlah, sekiranya anda membuat persepsi yang salah terhadap Allah, Allah Ya Hakam yang maha menghukum akan menghukum anda sedikit di dunia ini agar anda terselamat dari hukuman di akhirat. Hadis Qudsi ‘Allah itu seperti persangkaan hambaNya terhadapNya’. Oleh itu walaupun kita kadang2 tidak mampu memahami perbuatan Allah kepada kita, tetapi jangan membuat andaian salah kepada Ya Rahman Ya Rahim Ya Quddus Ya Karim. Didik dan pupuk hati untuk menerima dengan redha dan pasrah, kemudian galilah ilmu Allah yang sangat luas ini agar dirimu mengerti tentang cara Allah mengendali dunia dan seluruh isinya. Bacalah zikir ini untuk memantapkan anda ketika ditimpa kesedihan – 

Ya Allah Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, hambaMu yang jahil ini merintih sedikit ilmuMu agar daku dapat memahami hakikat setiap peristiwa yang sesungguhnya perbuatanMu jua. 

Ya Bathin, yang maha menghilangkan, hati ini sentiasa Nampak akan makhluqlah yang melakukannya, sedangkan makhluq itu untuk membuka kelopak matanya pun tidak mampu, apatah lagi untuk mencipta pelbagai peristiwa di dunia ini.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kesedihan kepada Kegembiraan | Bab 2

BAB 2 – TEKNIK MENUKAR KESEDIHAN KEPADA KEGEMBIRAAN

Buanglah kesedihan dalam fikiran dan hati anda dengan zikir berikut:

YA ALLAH Ya Quddus Ya Bathin, bersihkan dan hilangkan perkataan sedih dalam fikiranku dan perasaan sedih dalam hatiku. Sesungguhnya kesedihan itu tidak pernah wujud disisiMu Allah kerana Engkau tidak pernah ingin hambaMu bersedih, malahan Engkau Ya Rahman Ya Rahim Ya Rauf ingin sentiasa melihat hambaMu ini bergembira dan berbahagia. Kerana kejahilanku lah, daku sering tidak mampu menerima perpisahan dengan makhluq, kekecewaan dan apa jua peristiwa perit yang kami sangkakan dilakukan oleh makhluq, sedangkan makhluq tidak pernah mempunyai apa jua daya upaya untuk melakukan sesuatu kepada diriku melainkan semuanya adalah kehendak dan takdirMu jua. Ya Allah Ya Nuur, Ya Haadi, Ya Haq, pancarilah fikiran dan hati ini dengan limpahan cahaya makrifatMu agar daku mengenal erti setiap peristiwa yang Engkau datangkan dalam hidupku, agar hati ini tidak menolaknya dan memahami erti dan hakikat setiap yang berlaku adalah semata-mata untuk Allah Ya Fatah Ya Razaq membuka pintu syurga seluas-luasnya buat diriku. Terima kasih Allah atas segalanya, dan maafiku Ya Affuw Ya Ghaffar Ya Tawwab atas kesilapanku memahamiMu selama ini. Daku redha atas segalanya dan menyerah kepadaMu setiap saat hidup ini untuk dicatur olehMu kerana Engkau Maha Bijaksana Ya Hakim.

Asmaul Husna Converter | Menukar Kesedihan kepada Kegembiraan | Bab 1

BAB 1 – APAKAH HAKIKAT KESEDIHAN

Kesedihan biasanya berpunca dari perasaan sayu dan sedih kerana berlakunya peristiwa yang menyayat hari yang menghilangkan keceriaan dan kegembiraan yang sedang dinikmati. Sebagai contoh, peristiwa kematian orang tersayang akan menyebabkan kesedihan kerana sudah tiada lagi gurau senda dan keceriaan bersama. Contoh biasa juga, kesedihan akan timbul ketika seseorang itu perpisah dengan orang tersayang, seperti kawan sekerja bertukar tempat kerja, jiran berpindah rumah, anak/suami/isteri tiba2 kemalangan atau jatuh sakit kronik. Kesedihan juga terjadi apabila berlaku fitnah sesama sendiri kerana tersalah faham, tersilap maklumat dan kesengajaan kerana hasad dengki, yang mana sedihnya terasa dihati sahabat baik dan orang harapan dan tersayang mengecewakan kita hanya kerana tersilap sangka dan tersalah faham.

Kesedihan ini sekiranya berlamaan bertapak dihati manusia akan menyebabkan kemurungan, rasa hina diri yang melampau dan keputusasaan atau kekecewaan yang berpanjangan. Biasanya perasaan sedih melampau ini dilihat sebagai satu penyakit psikatri yang melibatkan ketidakwarasan otak dan dirawat dengan suntikan2 ubat penenang serta proses kaunseling. Seringkali pendekatan ini tidak mampu menghilangkan kesedihan tersebut kerana rawatan itu biasanya hanya merawat syimpton, tetapi punca sebenar kesedihan tidak dirawat.


Sesungguhnya kesedihan yang berlaku adalah kerana salah faham terhadap kehendak dan takdir Allah Al Qodir Al Muktadir. Apabila seseorang itu terlalu mencintai seseorang manusia lain, ianya tidak begitu bagus untuk akhiratnya, kerana ketika cinta manusia bertapak di hati, cinta Allah tidak mungkin boleh masuk ke dalam hati, jadi hamba itu tidak mampu mencintai Allah yang mendegupkan jantungnya, memberi udara kepadanya, mengurus seluruh tubuhnya. Alangkah ruginya sekiranya seorang hamba itu tidak mampu mendapat cintai Allah dan mencintai Allah, kerana dengan cinta Allah tadi, dia akan selamat di dunia, alam barzah dan alam akhirat. Apabila Allah melihat hati hambaNya penuh dengan cinta manusia, Allah akan bantu membuangnya dengan mencipta pelbagai peristiwa yang akan menyebabkan hambanya dipisahkan dengan orang tersayang, agar hatinya terdidik mencari cinta Allah, kerana Allah itu sifatnya Maha Pengasih Penyayang dan tidak pernah mengabaikan makhluqNya, sentiasa memberi rezeki, kesihatan dan pelbagai lagi kurniaan. Oleh itu segala kekecewaan, perpisahan, penderitaan dan pelbagai perasaan kesedihan adalah kesilapan yang dibuat oleh otak kerana tidak pasrah dengan tarikan Allah kepadaNya. Seringkali manusia menyangkakan Allah memberi azab kepada hambaNya, sedangkan Allah itu tidak akan sifat zalim, sentiasa penuh dengan kasih sayang.