Saturday, August 2, 2014

Asmaul Husna Converter | Menukar Kebencian kepada Kasih Sayang | Bab 1

BAB 1 – APAKAH HAKIKAT KEBENCIAN

Kebencian sering terjadi apabila seseorang mengharapkan sesuatu dari seseorang, tetapi ditolak atau tidak dapat menunaikan apa yang diharapkan samada dengan sengaja atau tidak sengaja. Kebencian juga terjadi apabila adanya perasaan hasad dengki dalam hati seseorang terhadap seseorang yang lain, yang merupakan penyakit hati yang sering menghinggapi hati seseorang. Selain itu, kebencian juga boleh berlaku apabila seseorang merasakan dia dimarahi, dianiayai atau dizalimi samada disedari oleh orang yang melakukannya atau pun tidak.

Sifat benci membenci sering berlaku kerana kejahilan, kelalaian dan sifat mazmumah yang berleluasa dalam masyarakat. Perasaan benci akan kekal lama dalam hati apabila seseorang itu menceritakan keburukan atau hal seseorang atau sesuatu peristiwa itu dari masa ke semasa. Ianya bertambah parah apabila ada seseorang yang menjadi batu api yang menokok tambah cerita asal dan menabur fitnah sehingga tahap kebencian bertambah-tambah.

Penyakit benci membenci ini apabila tidak dibersihkan dan dibiarkan lama bertambah-tambah, lama kelamaan akan bertukar jadi penyakit barah yang mana akhirnya akan menghasilkan sakit jasmani seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan barah. Selain itu, ianya akan menyebabkan perpecahan dan pergaduhan di kalangan orang2 yang membenci itu, yang juga melibatkan orang2 sekelilingnya. Kalau dia seorang ketua, yang akan terseret sama dalam kebencian itu adalah anak buahnya. Kalau dia seorang guru, yang akan terseret sama adalah anak muridnya. Sekiranya kebencian dan pergaduhan berlaku diperingkat pemimpin Negara, ia boleh mengakibatkan huru hara dan peperangan yang dahsyat antara rakyat dan juga antara Negara.


Pada hakikat sebenarnya kebencian itu merupakan hukuman Allah kepada seseorang yang salah faham tentang peristiwa2 yang berlaku dalama hidupnya atau hidup orang lain. Bagi kebencian yang berpunca dari kekecewaan kepada seseorang apabila apa yang diharapkan tidak tertunai, ianya berpunca daripada perasaan kebergantungan kepada makhluq dan merasai makhluq boleh menunaikan segala permintaan kita. Sesungguhnya, pada hakikat sebenar, makhluq tidak boleh memberikan sesuatu atau mendatangkan apa juga kepada diri kita, kerana yang memberi sesuatu itu adalah Allah Ar Rahman Ar Rahim Al Wahab Al Karim. 

Perasaan benci yang berpunca dari hasad dengki adalah kerana merasai keuntungan yang diperolehi oleh orang lain dan diri sendiri tidak mendapat keuntungan tersebut. Sesungguhnya pada hakikat sebenar, makhluq tidak berupaya untuk mendatangkan rezekinya sendiri melainkan dikurniakan oleh Allah, dan Allah itu Al Adl yang Maha adil mengagihkan rezekiNya secara paling adil dengan penuh kebijaksanaan kerana Dia Al Alim Al Hakim. Kepercayaan tentang rezeki dunia itu adalah tanda keuntungan dan kebahagiaan juga merupakan satu kesilapan besar, kerana pada hakikat sebenarnya disisi Allah, semakin banyak harta benda, wang ringgit dan pangkat seseorang, semakin banyak tanggungjawabnya kepada Allah untuk berbakti kepada masyarakat. Kebencian yang timbul disebabkan dimarahi, dianiayai dan dizalimi adalah kerana salah faham tentang peristiwa tersebut yang mana dia merasai orang atau makhluq yang memarahi, menganiaya dan menzalimi dia, sedangkan pada hakikat sebenarnya disisi Allah, Allah Ar Rahim Al Mani’ Al Qohhar Al Jabbar yang menegurnya, kerana apa yang dilakukan itu tidak benar disisi Allah. Ketidakmampuan seseorang itu melihat kekuasaan dan perbuatan Allah disebalik setiap peristiwa dan makhluq itulah menyebabkan mereka membenci dan berdendam.

No comments:

Post a Comment