Friday, July 25, 2014

Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 11: KEBIJAKSAAN ALLAH, RUNTUHKAN BENTENG HIJAB

Bab 11

Penghayatan ayat 76-83

KEBIJAKSAAN ALLAH, RUNTUHKAN BENTENG HIJAB

Wahai para pendakwah, manusia yang tidak celik mata hati ini akan menuduh-nuduh para pendakwah dengan pelbagai tuduhan dan cemuhan. Bersabarlah dan teruskan berdakwah. Allah Maha Mengetahui isi hati mereka. 

Wahai semua manusia, berhati-hatilah dalam memberi respon kepada pendakwah yang datang kepadamu. Adakala kamu tidak akan mampu memahami hujah yang disampaikannya seperti mana manusia sebelum wujudnya ilmu sains tak mampu berfikir bagaimana setitis air boleh menjadi jasad, dan bagaimana tulang yang hancur boleh menjadi hidup. Oleh itu, berhati-hatilah jangan terus ditolak apa-apa peringatan yang sampai kepadamu yang mengajak kamu mengenali dan mengEsakan Allah selagi ia bertepatan dengan syariat. Elakkan diri daripada tergolong di dalam orang-orang yang Allah sebut sebagai “pembantah yang nyata”.

Allah memperlihatkan kebijaksanaanNya daripada penciptaan makhluk-makhluk yang bertentangan sifat namun serasi sesamanya. Kayu basah boleh dijadikan api yang sifatnya kering dan membakar. Langit dan bumi yang lain sifat dan jaraknya memerlukan satu sama lain untuk mengharmonikan penghuninya. Maka dengan itu, Allah al-Hakim yang Maha Bijaksana yang memberi manusia ilmu dan tenaga, boleh menghilangkannya dengan sekelip mata apabila ego bertapa di hati sepertimana api membakar kayu.

Sesungguhnya ciptaan Allah penuh dengan perumpamaan atau analogi yang harus dikupas dan dihuraikan iaitu dengan memohon ilmu dari al-Khaliq yang Maha Mencipta dan al-‘Alim yang Maha Mengetahui. Sematkanlah di dadamu bahawa Allah itu semudah kun fayakun. Tiada yang sukar di sisi Allah. Tiada yang mustahil di sisi Allah. Maka, usahlah diletakkan sebarang persangkaan negatif atau jihab dalam mendekatkan diri dengan Allah. Persangkaan negatif yang selalu timbul seperti, “aku tak belajar agama, bagaimana mungkin aku boleh memahami al-Quran”, “aku masih banyak dosa, bagaimana mungkin Allah boleh didekati”, “aku banyak ilmu setelah berpuluh tahun belajar agama, sudah pasti ilmu dan hidayahku cukup ya Allah”, “aku tidak layak untuk mengkaji al-Quran kerana baca al-Quran pun masih tidak lancar”. Ingatlah, sedangkan kayu basah yang disangkakan takkan mungkin untuk dihidupkan api, Allah mampu membuatnya. Meletakkan sebarang limit dengan Allah bererti kamu tidak memperakui kesucian, kesempurnaan Allah yang menguasai setiap sesuatu (manusia, tangan, kaki, otak, haiwan dsbnya). 

KEMBALIKANLAH ROHMU kepadaNya.

Teknik membuang hijab:

Ya Allah ya Fattah ya Zohir ya Bathin

Ya Allah yang Maha Membuka, bukakan hijab di sekelilingku yang selama ini dibina oleh pemikiranku yang tidak nampak akan kehadiranMu. Lenyapkanlah pagar yang memisahkanku denganMu.

Teknik memohon pemahaman:

Ya Allah ya ‘Alim ya Hakiim ya Rashid

Ya Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Cerdas, alirkan ilmu dan pemahaman kepadaku akan kalam-kalamMu yang tersusun di dalam al-Quran. Sesungguhnya setiap kata-kataMu di dalam al-Quran ini adalah ditujukan khas buatku.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 10: HILANGKAN DAYA MAKHLUK, BESARKAN DAYA ALLAH

Bab 10

Penghayatan ayat 71-75

HILANGKAN DAYA MAKHLUK, BESARKAN DAYA ALLAH

Allah menegaskan lagi tentang pemberian nikmatNya. Allah beri bisnes dengan daya dan kuasa Allah, namun manusia sering merasakan dialah milik kepada bisnes tersebut. Semuanya adalah hasil usahanya sendiri. Manusia memandang orang kaya dan melihat daya orang kaya itu yang hebat. Haiwan ternakan atau apa saja bisnes atau pekerjaan manusia, Allah jadikan ia mudah untuk manusia beroleh rezeki untuk hidup dan menikmati manfaat-manfaat kehidupan yang lain. Tapi manusia tetap tidak menunjukkan perlakuan mereka sebagai bersyukur! Alhamdulillah hanya di bibir dan otak, tapi adab hati dengan Allah jauh sekali menyimpang. Mereka mencipta pelbagai tuhan lain untuk diagung-agungkan seperti bos yg baik, suami yang kaya, otak ku yang cerdik, dedikasi diriku, pelanggan yang ramai kerana diriku yang bijak menyusun strategi. Manusia memuji diri sendiri. Malah apabila ditimpa susah, manusia yang tidak merasai akan dekatnya Allah ini memilih untuk berusaha sendiri dan bersandar dengan makhluk. Di kedai penuh CCTV kerana takutkan rugi dirompak pencuri, membeli insurans merata-rata takutkan kerugian dan kecelakaan, memasang pagar tebal dan tinggi bimbang rumah dimasuki pencuri, membeli kereta mewah kerana bimbang akan keselamatan di perjalanan. Allah menegaskan, tidak satupun makhluk-makhluk itu mampu untuk menyelamatkanmu di dunia dan hari akhirat. Bergantung dengan makhluk telah menjejaskan akidahmu maka apakah Allah akan mengira kamu orang yg beriman? Oleh itu, marilah kita perbetulkan suasana hati kita dengan Allah. Zahir kita bergerak mengikut sunnah dunia, namun hati bergantung dan menyerah bulat-bulat kepada Allah. Lucutkan daya makhluk. Pasanglah CCTV di kedaimu, tetapi hati harus seratus peratus isytihar Allah lah sehebat-hebat pemerhati, iaitu Allah al-Khobir.
  

Teknik membuang daya makhluk:

Ya Allah ya Bathin

Ya Allah yang Maha Melenyapkan, hilangkanlah penglihatan mata bathinku akan kekuatan daya makhuk, hilangkan kebergantunganku kepada makhluk. Sesungguhnya makhluk tidak mampu untuk memberi manfaat dan keburukan kepadaku melainkan dengan izinMu.

Teknik menampakkan daya Allah:

Ya Allah ya Zohir ya Somad ya Baari’

Ya Allah yang Maha Menzahirkan dan Maha Diharapkan, zahirkanlah pada pandangan matahatiku bahawa setiap kejadian itu datang daripadaMu dan setiap saat daku melihat dan bergantung kepadaMu. Ya Baari’ yang Maha Mengatur agenda, sesungguhnya setiap yang berlaku adalah di dalam kekuasaan dan aturan agendaMu yang telah ditetapkan. AgendaMu sentiasa lebih hebat dari agenda manusia.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 9: ROH AL-QURAN

Bab 9

Penghayatan ayat 69-70

ROH AL-QURAN

Al-Quran ini bukanlah untuk dijadikan sya’ir yang dinyanyi-nyanyikan, didendang-dendangkan, dibaca-bacakan tanpa penghayatan. Apakah syair? Syair atau lagu dinyanyikan pada masa lapang, bertujuan untuk keseronokan. Manusia berkomunikasi tidak dalam bentuk lagu. Apatah lagi berkomunikasi dengan Tuhan sekalian makhluk? Bagaimana mungkin Allah berkomunikasi sesuatu yang tegas tetapi dalam mod berlagu dan santai? Ayat al-Quran digalakkan dibaca dengan penuh sopan, berlagu tidak salah. Namun, tidak mencapai matlamat sebenar hakikat al-Quran sekiranya ia hanya di bibir. Sesungguhnya jasad akan hancur, namun roh akan kekal selama-lamanya. Al-Quran perlu digendong oleh roh.

Ayat-ayat al-Quran adalah kalam-kalam Allah yang harus diFahami dan diHayati dan diKaji. Penciptamu sedang berdialog denganmu. Bukankah al-Quran untuk seluruh umat Nabi Muhammad, mengapa pula kamu mengkhususkan kata-kata ini hanya kepada Nabi seorang? Bukankah Allah banyak kali berpesan Rasulullah saw adalah sebagai pembimbing, penunjuk jalan, penyampai pesanan-pesanan Allah. Al-Quran akan dirasakan penting untuk dijadikan peringatan bagi orang-orang yang celik hatinya. Namun bagi yang masih terhijab, mereka meletakkan pelbagai alasan untuk tidak mengkaji al Quran. Tidak mengakui bahawa Allah ya ‘Alim yang paling layak mengajarkan al-Quran kepada setiap manusia. Terdapat sebilangan ayat Allah yang mengesahkan Allah lah guru al-Quran kita. Ini boleh dirujuk pada ayat-ayat berikut: al-Baqarah:151; al-Jumu’ah:2; ar-Rahman:2; Yaasin:69; an-Nisaa’:113; Ali-Imran:48; al-Baqarah:239.

Maka selami dan kajilah al-Quran, ia lebih baik dari mengejar juz dan pusingan khatam.
  

Teknik menaikkan semangat untuk memahami al-Quran:

Ya Allah ya Ba’its

Ya Allah yang Maha Memberi semangat, tanamkan semangat dalam jiwaku untuk sentiasa memahami, menghayati dan mengamalkan kalam-kalamMu. Jiwa ini sering leka akan mengejar-ngejar juz dan khatam berbanding dengan memasukkan roh al-Quran itu ke dalam hatiku.

Teknik mengurangkan kebergantungan kepada jumlah bacaan al-Quran berbanding memahami al-Quran:

Ya Allah ya Mumit ya Naafi’

Ya Allah yang Maha Memutuskan, putuskanlah hatiku dengan tali nafsu yang menjerutku selama ini dalam menyibukkan diri melayan nafsu dan tipudaya syaitan. Sesungguhnya kini daku sedar, al-Quran itu Dikau jadikan untuk difahami selain dibaca. Iaitu dibaca dengan hati. Ya Allah yang Maha Memberi manfaat, manfaatkanlah setiap bacaan al-Quran ku. Janganlah bacaan al-Quran ku selepas ini menjadi sia-sia tanpa mendapat redhaMu.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 8: KE MANAKAH MODAL-MODAL YANG DIPINJAMKAN ALLAH DISALURKAN SETIAP SAAT?

Bab 8

Penghayatan ayat 65-68

KE MANAKAH MODAL-MODAL YANG DIPINJAMKAN ALLAH   DISALURKAN SETIAP SAAT?

Allah memperingatkan kamu bahawa semasa di dunia sekarang ini Allah meminjamkan kepadamu mulut, tangan, kaki, penglihatan dan tubuh yang kuat dan sihat. Kesemuanya dapat digunakan dengan sempurna, namun mengapakah kamu tidak memikirkan perkara itu sebaliknya menggunakan modal-modal yang diberikan Allah itu ke jalan yang dimurkaiNya? Jasad yang kuat digunakan untuk melanggar perintah Allah. Mata yang diberi digunakan untuk membaca bahan-bahan bacaan lagho, menonton TV, mencuci mata di shopping complex. Tangan dan kaki digunakan untuk membeli dan membazir, mengejar dunia, sibuk dengan pinggan mangkuk, kereta, barang kemas, berjalan ke tempat-tempat yang tidak diredhai Allah seperti menjelajah bazar Ramadhan, membawa kereta ke pertandingan bola sepak, apatah lagi ke konsert-konsert. Malah, Allah juga memberimu panjang umur tetapi kamu merasakan kerana daya kamu sendiri, umurmu panjang. Kamu merasakan kamu menjaga kesihatan, maka tiada sakit dan tiada sebab untuk mati awal.

Ingatlah, Allah berpesan, Allah boleh mengembalikan kesemuanya itu menjadi asal kamu iaitu tidak berdaya. Lihatlah bayi, tidak berdaya melakukan apa-apa. Lihatlah orang yang lumpuh tidak berdaya bergerak. Lihatlah orang yang koma, tidak sedar walau masih bernyawa. Lihatlah orang yang dicabut kewarasan berfikir, tidak mampu untuk berfikir dan menguruskan diri. Apakah kejadian-kejadian dan nikmat-nikmat yang diberi kepadamu tidak cukup lagi untuk membuatmu berfikir dan merenung? Berfikirlah wahai manusia. Renunglah akan setiap inci pemberian Allah kepadamu. Ambillah iktibar sebelum terlambat. Apakah kamu telah menggunakannya sebaik-baiknya semua modal itu setiap detik kamu menghembuskan nafas?

Mampukah kamu hidup sesaat tanpa penglihatan? Tanpa kaki atau tangan? Tanpa daya bernafas atau berfikir? Sedarlah, Allah boleh menarik modal-modal ini bila-bila masa saja tanpa perlu bermesyuarat dengan sesiapapun.

Renungkan sejenak keadaan anggota-anggotamu di padang mahsyar nanti. Ketika di mahkamah akhirat Allah al-‘Adl. Renungkan bagaimana seluruh anggota tubuh menjadi saksi akan setiap yang dilakukannya. Apakah mulutmu akan berkata begini? “Wahai Allah, sesungguhnya benar aku telah digunakan untuk mengumpat rakan-rakan sekerjaku, menipu pelanggan-pelangganku ketika melakukan urusan jual beli, berkata kasar kepada kedua ibu-bapaku, kepada suamiku.” Atau begini?: “Wahai Allah, aku telah digunakan untuk menyebarkan agamaMu, untuk memuji-memujaMu setiap saat terluang, untuk sentiasa berkata-kata baik sesama manusia.”

Bagaimana pula dengan tangan? Apakah ia akan berkata, “Wahai Allah, aku pula telah digunakan oleh roh ini untuk membeli-belah yang membazirkan, menulis kata-kata fitnah dan hasad, menyuap makanan yang tidak halal.” Ataukah tangan berkata, “Wahai Allah, aku telah digunakan untuk menulis tulisan-tulisan bermanfaat dalam menegakkan agamaMu yang asli, membantu anak-anak yatim, fakir miskin, ibu-ibu tunggal.”

Ingatlah wahai pembaca surah Yaasin, sematlah di dalam hatimu, jadikanlah sebagai prinsip hidup bahawa semua anggota kita merekod apa yang dilakukan setiap saat dalam hidup ini. Elakkanlah daripada melakukan perkara yang melalaikan. Bimbang dirimu tewas di mahkamah Allah nanti.

Teknik memutuskan keinginan dengan perkara-pekara melalaikan:

Ya Allah ya Mumit

Ya Allah yang Maha Memutuskan, putuskan ikatan yang menjerut mata, telinga, tangan, kaki, umurku kepada dunia. Daku tidak mahu mengejar dunia yang fatamorgana, yang akan hancur dan tidak membawa apa-apa kebaikan untukku di alam barzakh dan akhirat.

Teknik memanfaatkan diri ke jalan Allah sepanjang masa:

Ya Allah ya Kholiq ya Baari’ ya Naafi’

Ya Allah yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur agenda, agendakanku untuk sentiasa berbuat kebaikan di jalanMu. Berbakti, berdakwah demi menegakkan agamaMu di bumiMu ini yang sedang tandus dan kotor dengan pelbagai penyakit. Ya Naafi’ yang Maha Memberi Manfaat, daku memohon untuk dimanfaatkan setiap saat dalam hidupku di dalam pengampunanMu, di dalam redhaMu dan di dalam jihad memperjuangkan agamaMu.

Teknik memancarkan cahaya kebenaran pada setiap anggota:

Ya Allah ya Nuur ya Haadi ya Haq

Ya Allah yang Maha Memberi cahaya petunjuk yang Benar, pancarkan cahaya kebenaran kepada seluruh anggota tubuhku agar daku sentiasa menggunakan setiap anggota dan tenagaku ke arah mendapatkan redhaMu sepanjang hidupku di bumiMu.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 7: FIKIR DENGAN MATA HATI

Bab 7

Penghayatan ayat 59-64

FIKIR DENGAN MATA HATI

Telah Allah pesan di awal surah bahawa syaitan diizinkan memasuki salur darahmu, diizinkan untuk mengepung pemikiranmu, namun Allah juga menghantar utusan-utusan dan detikan-detikan hati yg mampu membebaskanmu dari belenggu hijab syaitan ini. Allah mencipta pelbagai makhluk dan peristiwa untuk dijadikan renungan agar kamu lebih bersyukur dan berfikir menggunakan hati. Maka, dengan kesedaran bahawa syaitan adalah musuhmu yang nyata, kamu sepatutnya memohon kepada Allah untuk dibebaskan dari belenggu tersebut agar tidak terus di dalam kesesatan.

Allah menegaskan bahawa sebahagian besar dari umat manusia hari ini telah disesatkan oleh syaitan. Zoom out sejenak. Fikirkan dan renungkan sejenak. Siapakah sebahagian besar itu? Apakah diri ini tergolong di dalam ‘sebahagian besar’ tersebut? Menurut statistik, umat Islam di dunia sekarang ini adalah 23% daripada keseluruhan manusia. Apakah sebahagian besar yang dikatakan Allah itu terdiri dari 23 peratus ini? Perlu difahami secara logik dahulu apakah yang dimaksudkan dengan sesat. Sesat dan gelap adalah dua jalan yang berbeza. Apabila berada di dalam gelap, seseorang lebih cenderung untuk berhenti dan duduk setempat. Orang-orang yang menyembah Tuhan berhala seperti penganut agama lain adalah yang tergolong dalam kegelapan. Mereka tidak jumpa Allah dan tidak memilih untuk keluar dari kegelapan tersebut. Sepertimana kaum jahiliyah. Manakala, orang yang sesat jalan adalah orang yang mencari-cari jalan, tetapi tidak menjumpai jalan yang betul kerana terus-terusan mengikut penunjuk arah yang salah. Akibatnya, dia cenderung untuk berpusing-pusing dan berpatah balik. Adalah lagi parah apabila pengembara tersebut tidak menyedari bahawa dia sedang sesat, makanya perjalanannya dirasakan selesa namun tersasar dari jalan yang sebenar. Maka, Allah menyeru untuk BERFIKIR. Dan Allah memperingatkan, orang yang mengikut jalan syaitan ini dijanjikan Allah neraka jahannam.


Teknik memohon otak bathin dan zahir sentiasa merenung kehebatan Allah:

Ya Allah ya Fattah ya Zohir ya ‘Alim

Ya Allah yang Maha Membuka, bukakan mindaku seluas-luasnya agar dapat menghayati akan kebesaranMu. Ya Zohir, perlihatkanlah di hatiku akan keagunganMu sepanjang masa. Ya ‘Alim, alirkan energi ilmu dan pemahaman kepadaku agar daku mampu merenung akan kekuasaanMu di sebalik setiap makhluk dan peristiwa.

Teknik memohon jalan yang benar:

Ya Allah Ya Nuur Ya Haadi

Ya Allah, yang Maha Memberi cahaya dan petunjuk hidayah, bukakan jalan kepadaku agar daku mampu mendekatkan diri kepadaMu dengan jalan yang benar. Terangilah hatiku dengan cahaya dan hidayahMu agar setiap gerak-geriku dipimpin oleh cahaya kebenaran dariMu.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 6: USAH BERTANGGUH LAGI…

Bab 6

Penghayatan ayat 45-58

USAH BERTANGGUH LAGI…

Apabila dikatakan kepada kamu rasailah kehadiran Allah sentiasa di depan dan belakangmu, percayalah, nescaya kamu akan sentiasa dirahmati Allah. Namun, walaupun banyak bukti ini, manusia masih berpaling. Orang-orang sesat ini juga tidak mahu menginfakkan energy yang ada dalam dirinya yg telah dialirkan oleh Allah iaitu energy kebaikan, kebijaksanaan daripada 99 Asmaul Husna. Sebaliknya, mereka mengatakan tidak perlu untuk menginfakkan tenaga dan tidak perlu berdakwah, kerana hidayah tetap datang dari Allah jua. Biarlah Allah saja yang menunjukkan mereka kepada jalan yang benar. Biarlah aku terus-terusan beramal untuk memperbaiki kedudukanku di akhirat nanti. Ingatlah, inilah jalan yang sesat. Setiap saat, seorang hamba adalah khalifah iaitu tentera Allah.

Buangkanlah kemalasan dan perasaan berlengah-lengahmu wahai pembaca surah Yaasin. Janganlah masih direkodkan di kamus otakmu bahawa kiamat lambat lagi atau ajalmu lambat lagi. Allah mengajarkan di dalam surah ini untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi saat kematian. Rasailah setiap saat adalah saat terakhirmu untuk beriman kepada Allah. Setiap solat adalah solat terakhir. Setiap mad’u yang dijumpakan oleh Allah untuk dibimbing adalah mad’u yg terakhir.

Kerana kamu tak akan tahu betapa ruginya orang-orang yang dibangkitkan di padang mahsyar nanti dalam keadaan menyesal. Berpisah dari golongan yang beriman iaitu yang mencapai maqam Ihsan yang dimasukkan Allah ke dalam syurgaNya yang penuh dengan nikmat melimpah ruah.

Teknik untuk tidak bertangguh:

Ya Allah ya Muqaddim ya Muakhir ya Rashid Ya Mumit

Ya Allah yang Maha Mempercepatkan dan Maha Melambatkan, dialirkan energy kecepatanMu ya Rashid dan daku memohon dibuangkan perasaan bertangguh dan melengah-lengahkan dalam menuruti perintahMu. Sesungguhnya ajalku akan tiba bila-bila masa saja dari sekarang. Ya Mumit, matikanku dalam keadaan diredhaiMu.



Penghayatan Surah Yasin dalam Kehidupan | Bab 5: HIDUP UNTUK MEMUJI ALLAH YA HAMIID

Bab 5

Penghayatan ayat 33-44

HIDUP UNTUK MEMUJI ALLAH YA HAMIID

Bukti 1: Bumi yg mati dihidupkan Allah, dijadikan biji-bijian untuk mengisi perut manusia.

Bukti 2: Allah jadikan kebun-kebun kurma dan anggur dan mata air supaya dapat dimakan

Maka tunjukkanlah syukur kepada Allah. Jawablah persoalannya di ayat 35:

“Ya, kami bersyukur ya Allah. Ya Syakur, alirkanlah energy kesyukuran sentiasa dalam hati kami akan nikmatMu yang melimpah ruah.”

Bukti 3: Dijadikan Allah makhluk berpasang-pasangan.

Bukti 4: Dicabut siang, maka jadilah malam yang gelap gelita.

Bukti 5: Matahari beredar pada orbitnya mengikut garis yg telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Perkasa.

Bukti 6: Tidak seperti matahari, bulan dijadikan mempunyai beberapa peringkat seperti roda iaitu akan kembali kepada kedudukan yang asal.

Bukti 7: Malam dan siang tidak boleh bersatu. Matahari dan bulan tidak boleh bertemu kerana masing-masing mempunyai orbit yang tersendiri.

Bukti 8: Allah mengizinkan manusia untuk mengembara. Oleh itu, usahlah takut untuk meneroka alam Allah di hutan, laut, udara kerana jika hati bergantung sepenuhnya kepada Allah, hati akan yakin bahawa tiada yang boleh memudaratkan manusia jika Allah tidak menghendakinya.

Teknik untuk sentiasa memuji kekuasaan Allah:

Ya Allah ya Hamiid ya Kholiq ya Baari’ ya Musowwir ya Hakiim ya Baaqi

Ya Allah yang Maha Terpuji hanya Engkau yang layak dipuja dipuji kerana Engkau yang Maha Mencipta, Maha Mengatur, Maha Kreatif, tanamkan dalam jiwaku akan keinginan untuk sentiasa memuji kehebatanMu dalam mencipta alam yang daku tidak mampu memikirkan proses kejadiannya, tujuan dijadikannya, manfaatnya kepadaku. Dikau yang Maha Mengatur, menyusun planet-planet di atas orbitnya sendiri. Dikau yang Maha Kreatif sentiasa dapat dilihat daripada pelbagai ciptaanMu. Sesungguhnya Dikau ya Hakiim amat bijak mengatur alam. Kurniakan daku kebijaksanaan untuk mengkaji alamMu yang luas terbentang dan hati yang sentiasa lembut memuji kebijaksanaanMu. Ya Allah ya Baaqi yang Maha Kekal, kekalkanku dalam keadaan hati sentiasa memujiMu.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 4: JATIDIRI YANG DIREDHAI ALLAH

Bab 4

Penghayatan ayat 26-32

JATIDIRI YANG DIREDHAI ALLAH

Wahai pendakwah yang telah mencapai maqam Ihsan dan beriman dengan teguh akan rukun iman yang keenam, katakanlah kepada golongan yang ingkar itu bahawa kamu telah benar-benar yakin dan beriman sepenuhnya dan tiada daya dan upaya melainkan daya dan upaya Allah. Serulah kepada mereka agar menerima nasihatmu. Khabarkan kepada mereka inilah jalan ke syurga iaitu jalan yang mendapat keampunan dan kemuliaan dari Allah sepanjang masa. Peganglah dengan akidah tauhid ini sebelum kamu dimatikan atau sebelum kiamat kerana Allah tidak menghantar sebarang utusan atau pendakwah atau khalifah setelah roh kamu berpisah dari jasad. Ketahuilah bahawa dengan hanya satu tiupan sangkakala, semua makhluk akan musnah, yang tinggal hanya Allah al-Baaqi. Pada ketika itu, manusia yang ego semasa hidupnya akan berasa menyesal yang teramat. Meskipun banyak amal mereka, namun mereka tidak mengenal Allah, tidak mengenal tatacara sebenar hubungan hamba dengan Allah. Dan bagaimana memuliakan ayat-ayat Allah. Sebaliknya manusia-manusia yang menyesal ini sentiasa merasakan dirinya sudah cukup segala segi untuk dibawa ke akhirat dan hanya memperlekehkan peringatan-peringatan yang datang kemudian dari mereka.

Teknik memohon keteguhan dalam berdakwah:

Ya Allah ya Baari’ ya Baaqi ya Nuur ya Haadi

Ya Allah yang Maha Mengatur agenda yang Maha Kekal dan yang Maha Memberi cahaya petunjuk. Sesungguhnya daku hanyalah alatMu dalam mengajak manusia mendekatkan diri kepadaMu. Kekalkanlah daku di jalan ini, kuatkanlah jiwaku untuk mengharungi jalan yang penuh cabaran ini. Agendakanku untuk sentiasa berdakwah kerana sesungguhnya Rasulullah saw tidak akan kenal kepada diriku di akhirat nanti sekiranya daku tidak cakna kepada umat baginda.



Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 3: SELAMI DETIKAN HATI YANG BENAR

Bab 3

Penghayatan ayat 13-25

SELAMI DETIKAN HATI YANG BENAR

Allah menyeru kamu untuk mengkaji sejarah umat Islam dan umat Nabi-Nabi terdahulu untuk mengetahui betapa manusia ego untuk menerima peringatan yang benar meskipun telah berulang-ulang kali didatangkan dengan peringatan. Peringatan-peringatan Allah datang melalui pelbagai cara, iaitu secara ilham atau instinct, secara pesanan langsung dari utusanNya seperti sahabat, ibubapa, guru, pendakwah atau melalui pengalaman yang setiap dari pengalaman itu mengajar sesuatu hikmah yang perlu diambil pengajaran. Sejarah mengajarkan kepada kita betapa kerasnya hati manusia yang ego kepada peringatan yang pada pengamatan mereka tidak masuk akal dan tidak selari dengan amalan-amalan dan kepercayaan mereka.

Berhati-hati daripada terjerumus dalam perangkap ini wahai pembaca surah Yaasin. Renungkan apakah kamu juga ada melakukan sedemikian? Setelah diberi peringatan berulang-ulang kali akan rukun yang ketiga iaitu Ihsan bahawa dunia itu palsu, Allah itu Maha Kuasa, Allah meliputi langit dan bumi, Allah itu Maha Esa, Allah itu dekat, namun perlakuanmu tidak menggambarkan sedemikian. Setelah kamu mengaku beriman dengan qada’ dan qadar Allah, tetapi kamu mengeluh ketika ditimpa musibah. Mengeluh ketika ditimpa bencana. Di manakah rukun iman yang keenam tadi, di mana rukun hamba yg ketiga tadi?

Bimbinglah rohmu untuk tunduk kepada peringatan seumpama ini. Bukan setakat ianya di bibir dan di otak. Hatimu perlu yakin dengan teguh bahawa Allah itu yang menciptakanmu dan mengetahui setiap inci gerakmu, mengenalimu lebih dari kamu mengenali dirimu sendiri dan kamu harus kembali kepadaNya dalam setiap perkara. Peringatan ini amat penting kerana selama ini kamu merasakan kamu perlu berusaha tanpa bimbingan Allah. Selama ini kamu merasakan kamu mampu untuk mengubah qada’ dan qadar Allah jika kamu berusaha. Berhati-hati…bimbang jadi syirik.

Sedangkan Allah menyuruh kamu menyembahNya dalam setiap perkara. Sebelum pergi bekerja, memasak, bermain, belajar, membawa kereta, membaca, hatta melakukan ibadah seperti solat, membaca al-Quran haruslah hati kamu terlebih dahulu meminta dan berserah kepada Allah. Kerana bahaya dan pertolongan hanya datang dariNya yang Satu, Dia Al Ahad Al Wahid As Somad. Manusia dan peralatan hanyalah alat Allah, apabila zahirmu memohon bantuan manusia, hatimu harus beriktikad bahawa ianya dari Allah. Apabila zahirmu mengunci pintu pagar rumah, hatimu haruslah mempercayai bahawa hakikatnya Allah lah yang memelihara rumahmu. Allah Ad Dharru, Al Hakam, Al Muntaqim yang mengizinkan bahaya sebagai menunjukkan kekuasaanNya kepadamu dan Ar-Rahman yang Maha Pengasih mengurniakan kebaikan kepadamu tanda kasihNya, bukanlah makhluk. Inilah iktikad yang perlu disematkan di dadamu setiap saat. Selagi tidak meyakini hakikat ini, sedarlah kamu masih di dalam keadaan tidak menjumpai Allah (di dalam surah ini Allah menggunakan perkataan “sesat yang nyata”).

Maka, jangan sekali-kali mengabaikan ilham baik yang datang kepadamu apatah lagi setelah peringatan datang berkali-kali mengajakmu meluruskan aqidahmu dan kebergantunganmu dengan Allah. Usah sekali-kali melihat kepada ‘orang’ yang menyampaikan itu, sebaliknya lihatlah setiap pesanan itu kerana ia hakikatnya dari Allah. Jangan diabaikan detikan cemas yang datang dari jauh lubuk hatimu yang mengiyakan pesanan-pesanan yang benar. Detikan itu yang datangnya dari Allah menyatakan bahawa pesanan ini benar, janganlah kamu menafikan dan berpatah balik ke jalan yang sesat. Ilham-ilham ketuhanan yang datang dari jauh sudut hatimu iaitu daripada rohmu yang inginkan cahaya kebenaran menyuruhmu taat dan patuh kepada pesanan itu. Buangkan egomu. Buangkan makhluk yang bertapak dalam hatimu yang selama ini disembah dan diagung-agungkan. Allah lah yang patut disembah setiap saat. Setiap keburukan dan kebaikan semuanya dari Allah pada hakikatnya. Hayatilah pesanan ini dan jadikanlah ia pegangan hidupmu agar kamu berada di jalan yang benar yang tidak sesat.

Teknik menajamkan mata hati memahami detikan dari Allah:

Ya Allah ya Basir ya Zohir ya Bathin ya Nuur ya Haadi

Ya Allah yang Maha memberi petunjuk dan hidayah, sesungguhnya hidayahMu tidak pernah berhenti dialirkan di dalam jiwaku. Namun daku hamba yang sering lalai dan leka, lemah untuk menilai dan mengambil petunjuk-petunjukMu. Ya Allah yang Maha Menampakkan, tajamkanlah penglihatan matahatiku agar sentiasa terzahir ilham-ilham kebaikan daripadaMu. Ya Baathin, hilangkanlah sebarang prasangka buruk kepada para penyampai pesanan-pesananMu. Nampakkanlah kepadaku wajahMu tatkala pendakwah datang kepadaku dan lenyapkanlah wajah-wajah mereka agar daku dapat menerima hidayahMu tanpa sebarang hijab.