Friday, July 25, 2014

Penghayatan Surah Yasin dalam Kehidupan | Bab 1: Hadis-hadis Rasulullah saw mengenai saranan mengamalkan surah Yasin


PENGHAYATAN SURAH YASIN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Bab 1

Hadis-hadis Rasulullah saw tentang kepentingan surah Yaasin.

Diketahui umum terdapat beberapa surah di dalam Al Quran yang dianjurkan oleh para Ulama’ untuk dijadikan amalan bacaan harian umat Islam. Salah satu daripada surah-surah tersebut adalah suratul Yasin. Telah diriwayatkan dengan beberapa hadis Rasulullah saw akan kepentingan membaca surah Yasin seperti berikut:

1. Daripada Anas, Rasulullah saw bersabda: "Setiap sesuatu ada hati dan hati al-Quran adalah Yaasiin" dan sesiapa yang membaca Yaasiin, maka Allah SWT tulis baginya sepertimana membaca al-Quran sepuluh kali(HR at-Tirmizi)

2. Daripada Abi Hurairah r.a. bersabda Rasulullah saw: "Sesiapa yang membaca Yaasiin pada waktu malam, maka akan diampunkan keesokannya, Dan sesiapa membaca "Haamim Al Dukhan" nescaya akan di ampunkan baginya keesokannya." (HR Ibnu Katsir)

3. Daripada Ma'qil Ibni Yasar berkata: "Al Baqarah adalah rangka. Al-Quran di turunkan setiap satu ayat dengan di sertakan 80 Malaikat dan ayat Kursi khusunya di turunkan khas dari bawah Arasy Allah yang tersusun di dalam surah al-baqarah. Dan surah Yaasiin adalah jantung hati al-Quran."

4. Daripada Ma'qil Ibni Yasar berkata, Rasulullah s.a.w bersabda "Bacalah Yaasiin atas mereka yang meninggal dunia." (HR Ibnu Katsir-Abu Daud dan Al Nasa'i).

5. Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata : Nabi s.a.w telah bersabda: "Adalah saya suka kalau surah Yaasiin dalam hati setiap insan daripada umatku."(Riwayat Bazzar, Ibnu Katsir).

Namun, apakah rahsia di sebalik surah Yaasin yang menjadikannya istimewa sehingga Rasulullah saw menyebutnya berkali-kali? Jelas, apabila sesuatu disebut secara berulang kali, pastilah ada maksud tersirat di sebaliknya yang harus diterokai. Penerokaan dan penghayatan kepada fadhilat surah Yaasin amat penting kerana kehidupan akhirat tidak hanya bergantung kepada jumlah bacaan kita. Meskipun hadis-hadis Rasulullah saw menyebut ganjaran yang mengagumkan kepada sesiapa yang membacanya, sudah pastilah apa yang dimaksudkan Rasulullah saw bukanlah membaca semata-mata sebaliknya adalah untuk menghayati, mengambil pengajaran, mengamalkan dan menjadikan prinsip-prinsip yang Allah terapkan dalam surah ini sebagai pegangan dan amalan hidup setiap hari.

Rasulullah saw menyebut ianya sebagai ‘hati’ atau jantung al Quran. Namun, adakah kita mengetahui secara maknawi dan bathin apakah definisi ‘hati’? Mengapakah al Quran memerlukan hati sedangkan ia bukanlah makhluk yang akan dihitung oleh Allah Al Hasiib di akhirat nanti. Sebaliknya, al Quran adalah ‘alat’ Allah, makhluk Allah yang dicipta KHAS untuk makhluk yang bernama manusia dan jin untuk dijadikan panduan dan benteng untuk menjadi bekalan kehidupan di akhirat. Maka dengan ini, jelas bahawa kunci atau rumusan kepada tujuan utama al Quran diwahyukan melalui Rasulullah saw untuk disampaikan kepada seluruh umat baginda terdapat di dalam surah Yaasin. Memahami dan menjiwai surah Yaasin bererti telah memahami 10 lapis pemahaman tentang al Quran.

Rasulullah saw juga menekankan bahawa baginda menginginkan setiap umatnya menanamkan prinsip-prinsip dalam surah Yaasin ke dalam hati setiap insan. Sesungguhnya roh kita digerakkan oleh hati, jika bersih hati, bersihlah akhlak dan amalan begitu juga sebaliknya. Dengan itu, umatnya akan sentiasa hidup dalam keampunan dari Allah kerana kerapnya wujud perasaan memohon ampun kepada Allah. Maka, rungkaian dan kupasan kepada surah Yaasin serta aplikasinya kepada mindset dan perlakuan seharian kita adalah amat wajar agar setiap perlakuan roh dan jasad kita sentiasa bertepatan dengan garis panduan dalam surah ini agar hidup sentiasa di dalam redha Allah dan dikenali Rasulullah saw di akhirat nanti.

Teknik memohon pemahaman dari Allah

Surah Yaasin menjadi bacaam lazim kita di malam Jumaat, di rumah-rumah orang sakit, di sebelah jenazah, di hospital. Tetapi pernahkah roh surah Yaasin bersatu dengan roh kita sehingga dapat diterjemahkan kepada menjadi hamba Allah yang taat? Maka dengan itu, marilah kita menyeru nama-nama Allah untuk dialirkan kefahaman agar kita dapat menjiwai roh surah Yaasin.

“Ya Allah ya ‘Alim ya Hakim ya Rashid, kurniakan daku kefahaman dan penghayatan kepada kalam-kalamMu di dalam surah Yaasin ini agar daku dapat menjadi hambaMu yang taat dan dapat meneruskan tugas-tugas Rasulullah saw.”

*bersambung di Bab 2

No comments:

Post a Comment