Friday, July 25, 2014

Penghayatan Surah Yasin dalam kehidupan | Bab 8: KE MANAKAH MODAL-MODAL YANG DIPINJAMKAN ALLAH DISALURKAN SETIAP SAAT?

Bab 8

Penghayatan ayat 65-68

KE MANAKAH MODAL-MODAL YANG DIPINJAMKAN ALLAH   DISALURKAN SETIAP SAAT?

Allah memperingatkan kamu bahawa semasa di dunia sekarang ini Allah meminjamkan kepadamu mulut, tangan, kaki, penglihatan dan tubuh yang kuat dan sihat. Kesemuanya dapat digunakan dengan sempurna, namun mengapakah kamu tidak memikirkan perkara itu sebaliknya menggunakan modal-modal yang diberikan Allah itu ke jalan yang dimurkaiNya? Jasad yang kuat digunakan untuk melanggar perintah Allah. Mata yang diberi digunakan untuk membaca bahan-bahan bacaan lagho, menonton TV, mencuci mata di shopping complex. Tangan dan kaki digunakan untuk membeli dan membazir, mengejar dunia, sibuk dengan pinggan mangkuk, kereta, barang kemas, berjalan ke tempat-tempat yang tidak diredhai Allah seperti menjelajah bazar Ramadhan, membawa kereta ke pertandingan bola sepak, apatah lagi ke konsert-konsert. Malah, Allah juga memberimu panjang umur tetapi kamu merasakan kerana daya kamu sendiri, umurmu panjang. Kamu merasakan kamu menjaga kesihatan, maka tiada sakit dan tiada sebab untuk mati awal.

Ingatlah, Allah berpesan, Allah boleh mengembalikan kesemuanya itu menjadi asal kamu iaitu tidak berdaya. Lihatlah bayi, tidak berdaya melakukan apa-apa. Lihatlah orang yang lumpuh tidak berdaya bergerak. Lihatlah orang yang koma, tidak sedar walau masih bernyawa. Lihatlah orang yang dicabut kewarasan berfikir, tidak mampu untuk berfikir dan menguruskan diri. Apakah kejadian-kejadian dan nikmat-nikmat yang diberi kepadamu tidak cukup lagi untuk membuatmu berfikir dan merenung? Berfikirlah wahai manusia. Renunglah akan setiap inci pemberian Allah kepadamu. Ambillah iktibar sebelum terlambat. Apakah kamu telah menggunakannya sebaik-baiknya semua modal itu setiap detik kamu menghembuskan nafas?

Mampukah kamu hidup sesaat tanpa penglihatan? Tanpa kaki atau tangan? Tanpa daya bernafas atau berfikir? Sedarlah, Allah boleh menarik modal-modal ini bila-bila masa saja tanpa perlu bermesyuarat dengan sesiapapun.

Renungkan sejenak keadaan anggota-anggotamu di padang mahsyar nanti. Ketika di mahkamah akhirat Allah al-‘Adl. Renungkan bagaimana seluruh anggota tubuh menjadi saksi akan setiap yang dilakukannya. Apakah mulutmu akan berkata begini? “Wahai Allah, sesungguhnya benar aku telah digunakan untuk mengumpat rakan-rakan sekerjaku, menipu pelanggan-pelangganku ketika melakukan urusan jual beli, berkata kasar kepada kedua ibu-bapaku, kepada suamiku.” Atau begini?: “Wahai Allah, aku telah digunakan untuk menyebarkan agamaMu, untuk memuji-memujaMu setiap saat terluang, untuk sentiasa berkata-kata baik sesama manusia.”

Bagaimana pula dengan tangan? Apakah ia akan berkata, “Wahai Allah, aku pula telah digunakan oleh roh ini untuk membeli-belah yang membazirkan, menulis kata-kata fitnah dan hasad, menyuap makanan yang tidak halal.” Ataukah tangan berkata, “Wahai Allah, aku telah digunakan untuk menulis tulisan-tulisan bermanfaat dalam menegakkan agamaMu yang asli, membantu anak-anak yatim, fakir miskin, ibu-ibu tunggal.”

Ingatlah wahai pembaca surah Yaasin, sematlah di dalam hatimu, jadikanlah sebagai prinsip hidup bahawa semua anggota kita merekod apa yang dilakukan setiap saat dalam hidup ini. Elakkanlah daripada melakukan perkara yang melalaikan. Bimbang dirimu tewas di mahkamah Allah nanti.

Teknik memutuskan keinginan dengan perkara-pekara melalaikan:

Ya Allah ya Mumit

Ya Allah yang Maha Memutuskan, putuskan ikatan yang menjerut mata, telinga, tangan, kaki, umurku kepada dunia. Daku tidak mahu mengejar dunia yang fatamorgana, yang akan hancur dan tidak membawa apa-apa kebaikan untukku di alam barzakh dan akhirat.

Teknik memanfaatkan diri ke jalan Allah sepanjang masa:

Ya Allah ya Kholiq ya Baari’ ya Naafi’

Ya Allah yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur agenda, agendakanku untuk sentiasa berbuat kebaikan di jalanMu. Berbakti, berdakwah demi menegakkan agamaMu di bumiMu ini yang sedang tandus dan kotor dengan pelbagai penyakit. Ya Naafi’ yang Maha Memberi Manfaat, daku memohon untuk dimanfaatkan setiap saat dalam hidupku di dalam pengampunanMu, di dalam redhaMu dan di dalam jihad memperjuangkan agamaMu.

Teknik memancarkan cahaya kebenaran pada setiap anggota:

Ya Allah ya Nuur ya Haadi ya Haq

Ya Allah yang Maha Memberi cahaya petunjuk yang Benar, pancarkan cahaya kebenaran kepada seluruh anggota tubuhku agar daku sentiasa menggunakan setiap anggota dan tenagaku ke arah mendapatkan redhaMu sepanjang hidupku di bumiMu.



No comments:

Post a Comment