Bab 3
Penghayatan ayat 13-25
SELAMI
DETIKAN HATI YANG BENAR
Allah
menyeru kamu untuk mengkaji sejarah umat Islam dan umat Nabi-Nabi terdahulu
untuk mengetahui betapa manusia ego untuk menerima peringatan yang benar
meskipun telah berulang-ulang kali didatangkan dengan peringatan. Peringatan-peringatan
Allah datang melalui pelbagai cara, iaitu secara ilham atau instinct, secara pesanan langsung dari utusanNya
seperti sahabat, ibubapa, guru, pendakwah atau melalui pengalaman yang setiap
dari pengalaman itu mengajar sesuatu hikmah yang perlu diambil pengajaran.
Sejarah mengajarkan kepada kita betapa kerasnya hati manusia yang ego kepada peringatan
yang pada pengamatan mereka tidak masuk akal dan tidak selari dengan amalan-amalan
dan kepercayaan mereka.
Berhati-hati daripada terjerumus dalam
perangkap ini wahai pembaca surah Yaasin. Renungkan apakah kamu juga ada
melakukan sedemikian? Setelah diberi peringatan berulang-ulang kali akan rukun
yang ketiga iaitu Ihsan bahawa dunia itu palsu, Allah itu Maha Kuasa, Allah
meliputi langit dan bumi, Allah itu Maha Esa, Allah itu dekat, namun
perlakuanmu tidak menggambarkan sedemikian. Setelah kamu mengaku beriman dengan
qada’ dan qadar Allah, tetapi kamu mengeluh ketika ditimpa musibah. Mengeluh
ketika ditimpa bencana. Di manakah rukun iman yang keenam tadi, di mana rukun
hamba yg ketiga tadi?
Bimbinglah rohmu untuk tunduk kepada peringatan
seumpama ini. Bukan setakat ianya di bibir dan di otak. Hatimu perlu yakin
dengan teguh bahawa Allah itu yang menciptakanmu dan mengetahui setiap inci
gerakmu, mengenalimu lebih dari kamu mengenali dirimu sendiri dan kamu harus
kembali kepadaNya dalam setiap perkara. Peringatan ini amat penting kerana
selama ini kamu merasakan kamu perlu berusaha tanpa bimbingan Allah. Selama ini
kamu merasakan kamu mampu untuk mengubah qada’ dan qadar Allah jika kamu
berusaha. Berhati-hati…bimbang jadi syirik.
Sedangkan Allah menyuruh kamu menyembahNya
dalam setiap perkara. Sebelum pergi bekerja, memasak, bermain, belajar, membawa
kereta, membaca, hatta melakukan ibadah seperti solat, membaca al-Quran
haruslah hati kamu terlebih dahulu meminta dan berserah kepada Allah. Kerana
bahaya dan pertolongan hanya datang dariNya yang Satu, Dia Al Ahad Al Wahid As
Somad. Manusia dan peralatan hanyalah alat Allah, apabila zahirmu memohon
bantuan manusia, hatimu harus beriktikad bahawa ianya dari Allah. Apabila
zahirmu mengunci pintu pagar rumah, hatimu haruslah mempercayai bahawa
hakikatnya Allah lah yang memelihara rumahmu. Allah Ad Dharru, Al Hakam, Al
Muntaqim yang mengizinkan bahaya sebagai menunjukkan kekuasaanNya kepadamu dan Ar-Rahman
yang Maha Pengasih mengurniakan kebaikan kepadamu tanda kasihNya, bukanlah
makhluk. Inilah iktikad yang perlu disematkan di dadamu setiap saat. Selagi
tidak meyakini hakikat ini, sedarlah kamu masih di dalam keadaan tidak
menjumpai Allah (di dalam surah ini Allah menggunakan perkataan “sesat yang
nyata”).
Maka, jangan sekali-kali mengabaikan ilham
baik yang datang kepadamu apatah lagi setelah peringatan datang berkali-kali
mengajakmu meluruskan aqidahmu dan kebergantunganmu dengan Allah. Usah
sekali-kali melihat kepada ‘orang’ yang menyampaikan itu, sebaliknya lihatlah
setiap pesanan itu kerana ia hakikatnya dari Allah. Jangan diabaikan detikan
cemas yang datang dari jauh lubuk hatimu yang mengiyakan pesanan-pesanan yang
benar. Detikan itu yang datangnya dari Allah menyatakan bahawa pesanan ini
benar, janganlah kamu menafikan dan berpatah balik ke jalan yang sesat. Ilham-ilham
ketuhanan yang datang dari jauh sudut hatimu iaitu daripada rohmu yang inginkan
cahaya kebenaran menyuruhmu taat dan patuh kepada pesanan itu. Buangkan egomu.
Buangkan makhluk yang bertapak dalam hatimu yang selama ini disembah dan
diagung-agungkan. Allah lah yang patut disembah setiap saat. Setiap keburukan
dan kebaikan semuanya dari Allah pada hakikatnya. Hayatilah pesanan ini dan
jadikanlah ia pegangan hidupmu agar kamu berada di jalan yang benar yang tidak
sesat.
Teknik menajamkan mata hati memahami detikan
dari Allah:
Ya Allah ya
Basir ya Zohir ya Bathin ya Nuur ya Haadi
Ya Allah yang Maha memberi petunjuk dan
hidayah, sesungguhnya hidayahMu tidak pernah berhenti dialirkan di dalam
jiwaku. Namun daku hamba yang sering lalai dan leka, lemah untuk menilai dan
mengambil petunjuk-petunjukMu. Ya Allah yang Maha Menampakkan, tajamkanlah
penglihatan matahatiku agar sentiasa terzahir ilham-ilham kebaikan daripadaMu.
Ya Baathin, hilangkanlah sebarang prasangka buruk kepada para penyampai
pesanan-pesananMu. Nampakkanlah kepadaku wajahMu tatkala pendakwah datang
kepadaku dan lenyapkanlah wajah-wajah mereka agar daku dapat menerima hidayahMu
tanpa sebarang hijab.
No comments:
Post a Comment