Bab 11
Penghayatan ayat 76-83
KEBIJAKSAAN
ALLAH, RUNTUHKAN BENTENG HIJAB
Wahai
para pendakwah, manusia yang tidak celik mata hati ini akan menuduh-nuduh para
pendakwah dengan pelbagai tuduhan dan cemuhan. Bersabarlah dan teruskan
berdakwah. Allah Maha Mengetahui isi hati mereka.
Wahai semua manusia, berhati-hatilah dalam
memberi respon kepada pendakwah yang datang kepadamu. Adakala kamu tidak akan
mampu memahami hujah yang disampaikannya seperti mana manusia sebelum wujudnya
ilmu sains tak mampu berfikir bagaimana setitis air boleh menjadi jasad, dan
bagaimana tulang yang hancur boleh menjadi hidup. Oleh itu, berhati-hatilah
jangan terus ditolak apa-apa peringatan yang sampai kepadamu yang mengajak kamu
mengenali dan mengEsakan Allah selagi ia bertepatan dengan syariat. Elakkan
diri daripada tergolong di dalam orang-orang yang Allah sebut sebagai “pembantah
yang nyata”.
Allah memperlihatkan kebijaksanaanNya
daripada penciptaan makhluk-makhluk yang bertentangan sifat namun serasi
sesamanya. Kayu basah boleh dijadikan api yang sifatnya kering dan membakar.
Langit dan bumi yang lain sifat dan jaraknya memerlukan satu sama lain untuk
mengharmonikan penghuninya. Maka dengan itu, Allah al-Hakim yang Maha Bijaksana
yang memberi manusia ilmu dan tenaga, boleh menghilangkannya dengan sekelip
mata apabila ego bertapa di hati sepertimana api membakar kayu.
Sesungguhnya ciptaan Allah penuh dengan
perumpamaan atau analogi yang harus dikupas dan dihuraikan iaitu dengan memohon
ilmu dari al-Khaliq yang Maha Mencipta dan al-‘Alim yang Maha Mengetahui.
Sematkanlah di dadamu bahawa Allah itu semudah kun fayakun. Tiada yang sukar di
sisi Allah. Tiada yang mustahil di sisi Allah. Maka, usahlah diletakkan
sebarang persangkaan negatif atau jihab dalam mendekatkan diri dengan Allah. Persangkaan
negatif yang selalu timbul seperti, “aku tak belajar agama, bagaimana mungkin
aku boleh memahami al-Quran”, “aku masih banyak dosa, bagaimana mungkin Allah
boleh didekati”, “aku banyak ilmu setelah berpuluh tahun belajar agama, sudah
pasti ilmu dan hidayahku cukup ya Allah”, “aku tidak layak untuk mengkaji
al-Quran kerana baca al-Quran pun masih tidak lancar”. Ingatlah, sedangkan kayu
basah yang disangkakan takkan mungkin untuk dihidupkan api, Allah mampu
membuatnya. Meletakkan sebarang limit
dengan Allah bererti kamu tidak memperakui kesucian, kesempurnaan Allah yang
menguasai setiap sesuatu (manusia, tangan, kaki, otak, haiwan dsbnya).
KEMBALIKANLAH
ROHMU kepadaNya.
Teknik membuang hijab:
Ya Allah ya
Fattah ya Zohir ya Bathin
Ya Allah yang Maha Membuka, bukakan hijab di
sekelilingku yang selama ini dibina oleh pemikiranku yang tidak nampak akan
kehadiranMu. Lenyapkanlah pagar yang memisahkanku denganMu.
Teknik memohon pemahaman:
Ya Allah ya ‘Alim
ya Hakiim ya Rashid
Ya Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana
dan Maha Cerdas, alirkan ilmu dan pemahaman kepadaku akan kalam-kalamMu yang
tersusun di dalam al-Quran. Sesungguhnya setiap kata-kataMu di dalam al-Quran
ini adalah ditujukan khas buatku.
No comments:
Post a Comment