Friday, July 25, 2014

Penghayatan surah Yasin dalam kehidupan | Bab 2: SEMUA MANUSIA ADALAH KHALIFAH ALLAH

Bab 2

Penghayatan ayat 2-12

SEMUA MANUSIA ADALAH KHALIFAH ALLAH

Allah sedang memberitahu kepada kamu wahai yang sedang membaca kalam-kalam dari surah Yaasin ini, kamu adalah di kalangan khalifah Allah. Khalifah tugasnya wajib menyebarkan agama Allah iaitu agama yang lurus dengan menggunakan kebijaksaan al- Quran, ketahanan fizikal dan ketegasan serta dengan penuh kasih sayang pinjaman dari Ar-Rahman Ar-Rahim. Allah memberitahu terdapat dua golongan yang wajib kamu bimbing iaitu golongan kafir iaitu mereka yang secara keturunannya bukan Islam seperti orang Cina dan India di Malaysia ini dan golongan yang lalai iaitu orang-orang Islam yang leka dengan keseronokan dan tipu daya dunia.

Teknik memahami diri adalah khalifah:

Ya Allah ya Baari’ ya Hakiim ya ‘Aziz ya Qowiy ya Matin ya Nuur ya Haadi

Ya Allah yang Maha Mengatur tugas-tugas setiap makhlukMu. Sesungguhnya daku manusia yang dihidupkan olehMu ya Muhyi di muka bumi ini adalah tidak lain untuk beribadah kepadaMu dan memperingatkan sesama manusia akan kebenaran dan kekuasaanMu. Sesungguhnya setiap manusia adalah alatMu ya Nuur ya Haadi dalam berdakwah kepada orang-orang yang hidup di dalam leka. Agendakan langkahku, lidahku, fikiranku dalam berdakwah. Sesungguhnya kebijaksanaan dan kekuatan dariMu perlu dalam setiap langkah perjuangan menegakkan agamaMu.

Persediaan minda sebelum berdakwah

Sebelum memulakan dakwah, kamu harus bersiap-siaga bahawa kebanyakan daripada golongan ini akan memberikan reaksi negatif kepada kamu. Mereka tidak mudah untuk menerima pesanan dan peringatan kamu. Namun, teruskanlah membimbing dan mempertahankan kebenaran dari Al-Haq yang Maha Benar. Sesungguhnya kamu harus sedar bahawa Allah telah mengizinkan syaitan untuk mengepung pemikiran manusia dari kiri dan kanan dan dari depan dan belakang. Syaitan diizinkan mengalir dalam setiap inci darah dan urat saraf manusia. Otak dan penglihatan matahati manusia mampu ditakluki oleh tipu daya dan helah syaitan. Kepungan oleh syaitan dari dalam dan luar seseorang ini menjadi hijab kepada mereka untuk memahami dan menerima kebenaran. Maka dengan itu, pemikiran dan roh manusia akan terhijab oleh cahaya asli Allah dan pesanan-pesanan yang benar tetapi lebih tertarik dengan pesanan yang palsu iaitu yang telah diputar-belitkan oleh syaitan.

Ciri-ciri orang yang terhijab daripada kebenaran:

Mereka tidak nampak perbezaan dan kepentingan menuju ke jalan yg lurus atau mereka merasakan mereka sudah cukup lurus, maka dengan sebab itu mereka tidak menerima nasihat dan bimbinganmu. Ini kerana mata hati mereka masih tertutup. Maka, bukalah hijab ini terlebih dahulu dalam diri kamu kemudian bukakan hijab para mad’u mu agar dapat menghampiri Allah. Gunakanlah kebijaksanaan, ketegasan dan kasih-sayang yang dipimpin oleh al-Quran.

Ciri-ciri orang yang hatinya tidak terhijab:

Bimbingan dan peringatan yang kamu sampaikan hanya akan dapat difahami oleh mereka yang tidak terhijab dgn Allah. Iaitu mereka yang telah mencapai makam Ihsan di mana mereka sentiasa melihat Allah meskipun tidak dapat dilihat secara zahir. Mereka ini, yang mata hatinya celik dan telah disinari cahaya Allah sentiasa tunduk dan akur dengan Allah dan melaksanakan setiap gerak-geri bertepatan dengan arahan Allah Tuhan yang patut ditakuti dan dirasai kasih-sayang Ar-RahimNya. Dengan itu, orang-orang ini mudah untuk menerima teguran dan bimbingan kamu. Selain daripada bimbingan, khabarkan kepada mereka bahawa dengan Ihsan mereka kepada Allah iaitu dengan meyakini bahawa Allah itu lebih dekat dari urat lehernya, dan menyakini dengan sebenar-benar yakin bahawa Allah Al Affuw Al Ghaffar At Tawwab mengampuni dosa hambaNya yang datang memohon ampun dan bertaubat walau dosa setinggi gunung atau seluas langit dan bumi, maka mereka telah diampunkan dosa-dosanya dan dibalas akan keyakinan mereka itu dengan balasan kemuliaan. Iaitu rohnya mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah al-Kariim yang Maha Mulia.

Teknik untuk membuka hijab dan sentiasa merasakan Allah itu dekat:

Ya Allah ya Fattah ya Raqeeb ya Zohir ya Jaami’

Ya Allah yang Maha Membuka, bukakanlah hijab yang membelenggu jiwaku dan jiwa mad’u ku agar setiap pesananMu mengalir dan mampu meresap ke dalam jiwa-jiwa kami. Ya Allah yang Maha Dekat yang Maha Menzahirkan dan Maha Menyatukan, daku memohon dialirkan perasaan sentiasa merasakan Engkau dekat denganku lebih dekat dari urat leherku.

Teknik memohon energi kebijaksanaan, ketegasan dan kelembutan kasih-sayang:

Ya Allah ya Hakiim ya Jabbar ya Rahman ya Rahim

Ya Allah, daku memohon dialirkan energi kebijaksanaanMu agar dakwahku berhikmah, ya Jabbar yang Maha Tegas, alirkan ketegasan dalam jiwaku agar aku sentiasa berdiri tegak mempertahankan kalimahMu dan disaluti dengan energi kasih-sayangMu ya Rahman ya Rahim.

Teknik memohon keampunan dan kemuliaan di sisi Allah:

Ya Allah ya ‘Afuw ya Ghaffar ya Tawwab ya Majid ya Kariim

Ya Allah yang Maha Pemaaf Maha Pengampun Maha Penerima Taubat, ampuni dosa-dosa kesalahanku terhadapMu. Jadikan hidupku di bumiMu ini untuk sentiasa beristighfar kepadaMu agar daku hidup dalam pengampunanMu. Ya Allah yang Maha Mulia jadikan daku hambaMu yang dimuliakan olehMu di dunia dan di akhirat. Pimpinlah daku ke jalan kemuliaan di sisiMu yang sentiasa mengingatiMu dan berbakti kepadaMu tanpa mengenal penat dan lelah.

Peringatan untuk melucutkan riya’

Namun begitu, wahai penolong agama Allah sekalian, di dalam mengajak manusia ke arah jalan yang lurus, haruslah sentiasa beringat bahawa kamu tidak ada daya sikitpun untuk membuka hati mereka. Kamu hanyalah alat dan khalifah Allah dalam menarik mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah lah yang menghidupkan hati-hati mereka yg telah mati itu.

Teknik membuang riya’ diri:

Ya Allah ya Fattah ya Bathin ya Muhyi

Ya Allah yang Maha Membuka dan Menghidupkan, sesungguhnya daku tidak punya kuasa sedikitpun untuk membuka dan menghidupkan hati para makhlukMu. Daku akui bahawa segala apa pun yang berlaku selepas daripada urusan dakwahku, semuanya adalah hasil kerjaMu yang satupun daku tidak layak untuk mendabik dada. Ya Allah ya Bathin, hilangkanlah wajahku, rasa riyak dan ujub daripada cermin hatiku. Daku hanyalah alatMu yang telah diberi petunjuk dan hidayahMu untuk membimbing manusia kepadaMu.



No comments:

Post a Comment